SMATAAP johan Anugerah Pusat Sumber Cemerlang 2016
KOTA BHARU: Kejayaan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri (SMATAAP) muncul johan Anugerah Pusat Sumber Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2016 dicapai selepas penjenamaan semula Pusat Sumber Sekolah (PSS).
Pengetuanya, Zakiah Abdul Kadir, berkata penjenamaan semula PSS dilakukan pada 1 Februari lalu kepada Pusat Sumber Al-Humaira yang berkonsepkan inovasi dalam bidang komunikasi.
Katanya, konsep itu diselaraskan melalui kewujudan Radio Mumtaz FM yang berpusat di pusat sumber sekolah dengan memberi peluang pelajar menghebahkan maklumat berkaitan aktiviti akademik dan kokurikulum menerusi corong radio.
"Selain itu, inovasi lain turut dilakukan dalam pusat sumber di sekolah ini seperti melakukan aktiviti nilam berasaskan inovasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kuiz agama dengan pembabitan pelajar sekolah.
"Dengan keistimewaan itu, sekolah ini terpilih menjadi juara dan menerima wang tunai RM5,000, replika, piala pusingan, sijil serta sebuah tablet," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada 16 November lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menyampaikan anugerah berkenaan kepada SMATAAP di Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Kebangsaan 2016 di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan, di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Zakiah berkata, pihak sekolah mencontohi sekolah yang pernah memenangi pertandingan PPS sebelum ini sebagai sumber rujukan utama untuk merangkul kemenangan.
"Penilaian PPS bukan saja dari segi pusat sumber, malah keseluruhan kawasan persekitaran sekolah seperti sudut inovasi yang dibangunkan.
"Sebanyak RM90,000 dibelanjakan dan sumbangan itu diberikan Jemaah Pengelola Sekolah Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), alumni sekolah dan pihak luar," katanya.
Post a Comment